BERITA SEMASA

Ugutan kerana saya sedang dalam proses satu lagi skandal – Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa ugutan dan serangan terhadap anaknya semalam mempunyai kaitan dengan cubaan beliau untuk mendedahkan satu skandal besar.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, ugutan tersebut berlaku seminggu selepas beliau bertemu dengan sekumpulan pemberi maklumat (whistleblower) mengenai kes berkenaan.

“Pada pandangan saya, ini cubaan untuk memastikan saya ‘hands off’ perkara itu. Selalunya bila saya mula menyiasat sesuatu skandal, saya akan gali dan gali. Pada masa yang sama lebih banyak maklumat akan datang kepada saya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau menegaskan maklumat terperinci termasuk pihak yang dipercayai terlibat telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Rafizi berkata, berbeza dengan ugutan-ugutan yang pernah diterima, ugutan kali ini akan memberi tekanan kerana melibatkan ahli keluarganya namun menegaskan bahawa perkara itu (ugutan) tidak akan mengubah pendiriannya.

“Keputusan dibuat bersama keluarga. Setakat ini, saya tidak nampak isteri saya mahu ubah haluan. Kami sudah lalui perkara sebegini selama 15 tahun walaupun kali ini dimensinya berbeza kerana melibatkan anak.

“Kepada mereka yang merancang, saya harap mereka sedar isteri dan anak saya sudah melalui perkara itu berkali-kali sebelum ini,” katanya dalam nada sebak.

Menurutnya, beliau telah mengambil langkah keselamatan sewajarnya dan akan terus menjalani tugas seperti biasa.

“Kalau mereka fikir cara itu boleh buat saya bertukar haluan, itu tidak. Kami akan teruskan seperti biasa dan saya harap pihak berkuasa diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button