Pemilihan PKR: Rafizi alu-alukan pertandingan Timbalan Presiden
CYBERJAYA – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengalu-alukan pertandingan jawatan tersebut pada Pemilihan Peringkat Pusat yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau berkata, hak untuk bertanding adalah hak masing-masing dan wajar diraikan dalam semangat demokrasi.
“Saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.
“Apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi PRU16,” katanya.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Katanya, beliau akan turut memainkan peranan sepatutnya, tidak kira sama ada menang atau kalah.
“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.
“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya lagi.
Sebelum ini, timbul desas desus bahawa jawatan tersebut akan menyaksikan pertandingan sengit, dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah Anwar disebut-sebut sebagai antara calonnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








