POLITIK

Rafizi nafi beli BERSAMA RM8.5 Juta

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menyangkal dakwaan yang mendakwa beliau mengeluarkan dana sebanyak RM8.5 juta bagi mengambil alih Parti Bersama (BERSAMA) daripada pengasas asalnya, Tan Gin Theam.

Menerusi aplikasi di X, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata pengambilalihan BERSAMA sebaliknya dibuat tanpa sebarang transaksi tunai antara beliau dan Gin Theam, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah disebarkan laskar siber.

“Jangan bimbang, kita serahkan kepada Allah. Ada balasan kepada mereka suatu hari nanti.

“Gin Theam menangis masa serahkan parti ini kepada kami (Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad).

“Dia hanya meminta kami jaga BERSAMA baik-baik dan supaya ia boleh bela rakyat biasa lebih baik daripada yang dia mampu buat sebelum ini,” katanya hari ini.

Beliau menyatakan bahawa BERSAMA yang kini mempunyai lebih 20,000 ahli tidak tergesa-gesa mengejar kuasa sebagai sasaran utama mereka buat masa ini.

“Saya dan Nik (Nazmi) buat keputusan lepaskan segala-galanya supaya ada satu platform politik yang sesuai untuk golongan rakyat biasa yang berfokus kepada masa depan. Insya-Allah, kalau kita ikhlas, Allah akan bantu.

“Untuk tempoh ke depan, tumpuan diberikan kepada usaha memperkenal BERSAMA dan 12 Agenda kepada seberapa ramai orang,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi menegaskan dalam BERSAMA semua berpeluang untuk menjadi calon, namun akan ada jawatankuasa calon yang akan melakukan tapisan dan penilaian satu-persatu.

“Permohonan menjadi calon akan dibuka dalam masa terdekat. Kena lalui sedikit proses memperkenalkan diri, bercakap depan skrin.

“Semua ada peluang yang sama. Tidak perlu kenal saya atau Nik untuk berpeluang jadi calon,” katanya.

Rafizi sebelum ini mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama Nik Nazmi Nik Ahmad selepas tewas dalam pemilihan parti.

Kedua-duanya kemudian turut mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Pandan dan Setiawangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button