BERITA SEMASAPOLITIK

Rafizi dedah punca letak jawatan

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berpunca daripada hilangnya keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dirinya.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, petanda jelas hilangnya kepercayaan itu terserlah apabila Nurul Izzah Anwar bertanding dalam pemilihan parti baru-baru ini dengan restu daripada Presiden (Anwar) sendiri.

“Apabila Nurul Izzah bertanding, ia mendapat restu daripada Presiden dan juga Perdana Menteri.

“Itu isyarat jelas bahawa Presiden sudah hilang keyakinan kepada saya, bukan sahaja sebagai orang nombor dua parti, tetapi juga sebagai menteri ekonomi,” katanya dalam siaran rancangan Live Podcast (Yang Berhenti Menteri) yang disiarkan menerusi akaun Facebook rasminya malam tadi.

Tambah beliau, tanpa mandat daripada parti dan kepercayaan Perdana Menteri, adalah tidak wajar untuk beliau terus memegang jawatan dalam Kabinet kerana hanya akan menjadi “menteri tempang”.

“Kalau saya kekal, saya akan jadi lame duck minister. Menteri yang sudah hilang kepercayaan Perdana Menteri, kalau terus buat kerja, kementerian pun akan terheret sama,” katanya lagi.

Rafizi sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya pada 27 Mei lalu dan ia berkuat kuasa secara rasmi pada Selasa lepas.

Menjawab dakwaan kononnya beliau merajuk kerana kekalahan dalam pemilihan parti, Rafizi menafikannya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta cuba menjatuhkan imej peribadinya.

“Tuduhan merajuk ini pelik. Merajuk ini kalau kita tak dapat sesuatu. Tapi dalam kes saya, saya memang menteri dan saya tak mahukan jawatan itu lagi. Jadi tidak timbul isu merajuk,” katanya lagi.

Beliau menegaskan keputusan meletak jawatan dibuat atas dasar prinsip, iaitu mahu pemimpin yang berada dalam Kabinet bebas bersuara dan tidak hanya bertindak mengikut telunjuk.

“Kalau saya balik ke Kabinet, ia secara tersirat bersyarat dan tutup mulut, diam-diam. Sebab kamu menteri yang tak ada mandat. Itu bukan cara saya,” katanya lagi.

Mengulas prinsip perjuangannya dalam politik, Rafizi menegaskan kuasa bukanlah satu-satunya jalan untuk menjamin kelangsungan atau kedudukan seseorang pemimpin.

“Kekuatan sebenar dalam politik adalah apabila seseorang itu diterima rakyat dan setiap usaha yang dilakukan membawa manfaat serta kesejahteraan kepada masyarakat.

“Politik bukan hanya soal kuasa, tapi soal prinsip dan keberanian untuk menyatakan pendirian yang benar,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button