OPR turun 2.75 peratus: PM sifatkan langkah berhemah, bukti daya tahan ekonomi MADANI
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus sebagai langkah yang berhemah dan proaktif dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu dibuat berdasarkan unjuran ekonomi dan kadar inflasi semasa yang diteliti secara mendalam.

“Langkah ini berhemah dan proaktif di tengah ketidaktentuan ekonomi global, berpandukan unjuran ekonomi dan inflasi semasa yang teliti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi.
Meskipun sektor eksport berdepan pelbagai cabaran, Perdana Menteri menegaskan kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan seperti Skim Jaminan Pembiayaan untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta meneroka pasaran-pasaran baharu untuk memperkukuh daya saing negara.
BACA : Bank Negara umum OPR turun 25 mata asas kepada 2.75 peratus
Beliau turut menyatakan bahawa reformasi yang digerakkan menerusi kerangka Ekonomi MADANI terus menunjukkan hasil positif apabila kadar inflasi negara menurun ke paras 1.2 peratus sehingga Mei 2025 iaitu yang terendah dalam tempoh 51 bulan.
Selain itu tambah beliau, kadar penyertaan tenaga buruh juga mencecah rekod tertinggi iaitu 70.8 peratus.
“Kita mesti terus mara dalam reformasi merencana masa depan negara kerana di sebalik cabaran, ada ruang untuk maju disandarkan tatakelola lebih baik, inovasi berani dan semangat juang yang utuh,” katanya lagi.
Sebelum ini, kadar OPR dikekalkan pada paras 3.00 peratus sejak Mei 2023 dan penurunan terbaharu ini dilihat sebagai usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan mengurangkan kos pinjaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








