BERITA SEMASA

PLKN 3.0 lahirkan generasi muda patriotik, berjiwa besar – Khaled

KUALA LUMPUR – Pengenalan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 merupakan langkah strategik yang diambil Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi membina bangsa yang patriotik, berdisiplin dan berjiwa besar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata PLKN 3.0 adalah sebahagian daripada proses melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab dan mempunyai semangat cintakan tanah air.

“Kami nekad memberikan yang terbaik untuk memastikan semangat patriotisme dan kasih sayang kepada negara dapat dipupuk dalam kalangan rakyat, terutamanya golongan muda,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran PLKN 3.0 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mengulas mengenai pelantikan barisan kepimpinan baharu MLKN, ia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dapat mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti, keseriusan dan matlamat murni PLKN 3.0.

“Ahli-ahli MLKN bertanggungjawab memberi nasihat kepada kerajaan, merangka dasar strategik PLKN, memantau pelaksanaan program, serta menyelaras penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

“Mereka turut berperanan dalam memastikan tadbir urus kewangan yang cekap, menjaga kebajikan pelatih, dan menilai keberkesanan modul latihan secara berterusan,” katanya.

Mohamed Khaled menambah, meskipun tidak semua rakyat negara ini akan menunjukkan semangat patriotisme secara penuh, MINDEF akan berusaha memastikan wujudnya kelompok masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi terhadap negara.

“Kita mahu masyarakat Malaysia sentiasa mempunyai generasi yang sedar akan peranan, tanggungjawab, dan nilai mereka terhadap negara.

“Kami juga berharap supaya generasi muda cakna isu keselamatan, kedaulatan, dan perpaduan negara serta berupaya bertoleransi terhadap perbezaan budaya dan bangsa,” katanya lagi.

Tegas Khaled lagi, PLKN 3.0 adalah sebahagian daripada usaha berterusan MIDNEF dan kerajaan untuk melahirkan rakyat yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button