BERITA SEMASA

Kerajaan Johor komited lindungi Kampung tradisi – MB Johor

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor memberi jaminan bahawa kampung-kampung tradisi tidak akan menjadi mangsa pembangunan pesat negeri, malah komited melindungi hak dan warisan komuniti Melayu bandar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah bersikap zalim dan dasar pembangunan negeri akan dilaksanakan secara adil tanpa menjejaskan hak pemilik asal tanah kampung tradisi.

“Kita tidak mahu sebuah bandar tanpa akar atau pembangunan yang melupakan warisan.

“Maka, kerajaan mengambil pendekatan dasar yang seimbang mengekalkan pegangan pajakan sebagai dasar guna tanah, tetapi dengan polisi yang jelas dan menyebelahi rakyat, khususnya komuniti Melayu bandar,” katanya.

Menurut beliau, status pajakan tanah bukan satu bentuk pencerobohan, malah sah di sisi undang-undang dan memberikan hak milik penuh kepada pemilik.

“Pemilik tanah pajakan masih mempunyai hak untuk mewariskan, menjual dan membangunkan tanah mereka tertakluk kepada syarat serta undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan dan menyerahkan tujuh permohonan pembaharuan pajakan tanah di Kampung Melayu Majidee baru-baru ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa status kampung-kampung Melayu akan terus kekal dan tidak akan dipindah milik kepada kaum lain, sejajar dengan Enakmen Rizab Melayu Johor yang masih berkuat kuasa.

“Ia tidak akan dihilangkan dan tidak boleh dipindah milik kepada bangsa lain. Ini termaktub jelas dalam peruntukan undang-undang negeri,” katanya.

Tambah beliau lagi, Rancangan Khas Kawasan (RKK) Perkampungan Tradisi Melayu Johor Bahru sedang digubal bagi memastikan kampung-kampung tradisi ini menjadi sebahagian daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dan tidak terpinggir dari arus kemajuan.

Untuk rekod, pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee dilaporkan masih menanti keputusan permohonan tanah rizab Melayu hak milik kekal yang dikemukakan sejak tahun lalu.

Sementara itu, pada 27 April, penduduk yang berdepan isu pajakan 99 tahun yang hampir tamat telah dinasihati supaya segera mengemukakan permohonan lanjutan pajakan tanah mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button