POLITIK

Warisan sepatutnya nilai sejarah sendiri dahulu sebelum label pihak lain ‘sarang lompat parti’

CYBERJAYA – Parti Warisan sepatutnya menilai sejarahnya terlebih dahulu sebelum menuduh dan melabel pihak lain sebagai “sarang lompat parti”.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Warisan sendiri tidak memenangi kuasa secara demokratik, sebaliknya menerusi kemasukan wakil rakyat daripada parti-parti lain.

“Soalannya ialah, sejauh mana ‘suci’ pihak yang membuat tuduhan ini dan parti mereka dalam isu lompat parti?

“Perkara yang paling menyedihkan ialah tindakan wakil rakyat melompat parti boleh menjatuhkan kerajaan sedia ada tanpa pilihan raya, seperti yang berlaku pada tahun 2018,” katanya.

Armizan berkata demikian dalam satuu video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, malam tadi.

Armizan berkata, adakah Warisan sudah lupa ketika itu apabila ketua menteri yang memegang jawatan belum meletakkan jawatan, namun ketua menteri baharu dilantik apabila Warisan menerima wakil rakyat yang melompat parti.

Tambah beliau, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, ketika itu mengumumkan bahawa kerajaannya tidak berhasrat untuk menggubal undang-undang anti lompat parti, dengan alasan mereka mempunyai keutamaan lain.

Namun, apabila berlaku tindakan keluar parti dalam kalangan ahli Warisan pada tahun 2023, Shafie mengubah pendiriannya dan mendesak supaya undang-undang anti lompat parti digubal “secepat mungkin”.

Armizan turut menayangkan semula petikan ucapan Shafie, sambil berkata kecenderungan sedemikian menunjukkan Presiden Warisan itu begitu cepat mengubah pendiriannya bergantung kepada keadaan semasa.

Beliau kemudiannya menambah, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor seharusnya diberi penghargaan kerana sudah berjaya meminda Perlembagaan Negeri pada tahun 2023 bagi menghalang wakil rakyat melompat parti.

“Pada tahun 2025 ini, taktik baharu apa pula yang akan digunakan untuk merampas kuasa? Adakah Warisan akan cuba memujuk wakil rakyat daripada parti lain untuk menyokong presiden mereka sebagai ketua menteri?” kata Armizan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti, Warisan mengumumkan akan bertanding di kesemua 73 kerusi tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti lain.

Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, GRS mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dan bertekad untuk membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua pengundi supaya membuat pilihan yang bijak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button