POLITIKRENCANA

PRN Sabah : Dinamik politik semakin matang yang berpaksikan ketokohan

PILIHANRAYA Negeri Sabah (PRN17) melabuhkan tirai dengan keputusan di luar jangkaan banyak pihak sekaligus mewarnai semula peta politik negeri itu yang mencerminkan perubahan drastik sentimen pengundi.

PRN17 menyaksikan tiada parti muncul dengan majoriti mudah, satu isyarat jelas yang dihantar oleh rakyat Sabah bahawa mereka bukan mahukan pendekatan baharu dari pemimpin yang bukan hanya tahu menabur janji.

Rakyat Sabah juga jelas menilai kepimpinan secara lebih dekat dengan denyut nadi kehidupan seharian malah cukup lantang dan berani untuk meninggalkan nama-nama besar yang dirasakan tidak lagi relevan dalam membawa pembangunan rakyat.

Yang jelas, gelombang paling ketara dalam pilihan raya kali ini ialah kebangkitan semula parti Warisan di kawasan bandar. Dengan meraih 25 kerusi, majoritinya di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Sandakan, Warisan berjaya menguasai penempatan urban yang menjadi nadi ekonomi Sabah.

Kerusi-kerusi strategik seperti Likas, Luyang, Api-Api, Tanjung Aru dan Karamunting kembali ke tangan Warisan melalui mandat kelompok profesional, kelas menengah dan pengundi muda yang mahukan suara lebih progresif dalam pentadbiran negeri.

Keputusan itu pada masa sama menjadi kejutan kepada banyak pihak terutama dengan kekalahan tokoh-tokoh besar yang selama ini dilihat mempunyai pengaruh kukuh.

Antara yang tersungkur ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin yang tewas di Tanjung Aru dalam saingan sembilan penjuru, walaupun kawasan itu sebelum ini dianggap kubu selesa baginya.

Turut menerima tamparan hebat ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang tumbang di Bogawan, juga dalam pertembungan sembilan penjuru, mencerminkan perubahan sikap pengundi yang tidak lagi terikat kepada hierarki lama.

Nama-nama besar lain turut kecundang, termasuk Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman yang gagal mempertahankan pengaruhnya di Bongawan.

Bahkan pemilihan kali ini juga menyaksikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee tewas di Sugut dalam saingan tujuh penjuru.

Kekalahan berturut-turut tokoh-tokoh ini menyampaikan satu mesej yang cukup jelas bahawa pengundi Sabah tidak ragu-ragu untuk membuat keputusan apabila merasakan perubahan perlu berlaku.

Di kawasan luar bandar dan pedalaman pula, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai blok terbesar dengan 29 kerusi, mengekalkan dominasi di daerah yang lebih tradisional dan berasaskan jaringan akar umbi lama.

Namun, ketiadaan majoriti mutlak menunjukkan pengundi mahukan semak imbang yang lebih kukuh, sekali gus menghalang mana-mana parti daripada mengurus negeri tanpa rundingan dan konsensus.

Mengejutkan lagi, keunikan politik Sabah turut diperkuat dengan kemenangan lima calon Bebas yang meraih sokongan besar, termasuk majoriti hampir 4,000 di Bandau.

Fenomena ini menegaskan bahawa personaliti calon, rekod perkhidmatan dan hubungan dengan komuniti tempatan sering mengatasi kekuatan logo parti politik.

Begitu juga yang berlaku apabila UPKO yang pernah dilihat merosot mencipta kebangkitan tersendiri melalui kemenangan bergaya di Kadamaian, Moyog dan Tamparuli.

Kemenangan besar Datuk Seri Ewon Benedick di Kadamaian dengan majoriti 9,672 undi menjadi antara keputusan paling signifikan dalam PRN kali ini dan membuktikan parti itu masih memiliki kekuatan di kawasan etnik Kadazandusun.

Keputusan di beberapa kerusi turut mencerminkan pertembungan sengit dan tidak seimbang. Bengkoka dimenangi dengan majoriti paling kecil iaitu 77 undi, manakala Bugaya memaparkan majoriti terbesar sebanyak 10,046 undi, sekaligus menunjukkan penguasaan total Warisan di kawasan Semporna.

BN pula sekadar mampu mempertahankan enam kerusi, berbanding 14 kerusi pada PRN yang lalu. Kemenangan ini pula kebanyakannya dimiliki di kubu-kubu tradisi namun kedudukannya kini lebih bersifat pelengkap berbanding penggerak utama politik Sabah.

Nasib yang sama juga dicapai oleh Pakatan Harapan dan PN yang masing-masing menang hanya satu kerusi membuktikan bahawa arus politik nasional tidak mempunyai kesan langsung di Sabah yang kekal dengan ritma dan keutamaannya tersendiri.

Jelas sekali politik negeri ini terus berpaksi kepada tokoh tempatan, hubungan akar umbi dan kepercayaan yang dibina secara berdekad.

Secara keseluruhannya, PRN Sabah ke-17 memperlihatkan landskap baharu yang tidak hanya berubah pada wajah parti, tetapi juga pada corak pemikiran pengundi.

Kebangkitan Warisan di bandar, kekuatan GRS di pedalaman, kekalahan tokoh-tokoh besar dan penerimaan terhadap calon Bebas mengukuhkan hakikat bahawa politik Sabah terus berkembang menjadi medan yang semakin matang, dinamik dan sukar dijangka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button