Isu Dara, Amoi dan Kelat: Sandrea jumpa PM, kebajikan gajah diutamakan
KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkembangan terkini isu pemindahan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke Zoo Tennoji Osaka (ZTO) di Jepun.
Menurut beliau, beberapa perkara utama diberi penekanan dalam pertemuan tersebut termasuk kebajikan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat.
Beliau berkata, selain kebajikan haiwan, aspek hubungan diplomatik serta komitmen terhadap perjanjian sedia ada turut diberi perhatian dalam perbincangan tersebut.
“Keprihatinan masyarakat terhadap isu ini amat dihargai dan dalam masa yang sama adalah penting untuk kita melihatnya secara menyeluruh, berasaskan fakta serta perkembangan semasa.
“Penekanan turut diberikan agar semua pihak berkaitan mengambil pendekatan yang cermat dalam setiap tindakan.
“Keutamaan diberikan kepada kebajikan haiwan serta pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini

Tambah beliau, perkembangan lanjut mengenai isu berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa ZTNS segera memulakan rundingan dengan ZTO bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia itu.
NRES menjelaskan, pihaknya tidak terlibat perjanjian pemindahan haiwan tersebut.
Sebaliknya, perjanjian itu dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan dengan perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.
Isu pemindahan tiga gajah tersebut sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pencinta haiwan yang menzahirkan kebimbangan terhadap aspek kebajikan dan kesesuaian habitat baharu haiwan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







