BERITA SEMASA

Paras takungan air tiga empangan MADA meningkat

ALOR SETAR – Paras takungan air di tiga empangan utama bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menunjukkan peningkatan yang ketara berikutan hujan berterusan yang melanda kawasan tadahan sejak minggu lalu.

Pemantauan sehingga pagi semalam merekodkan paras Empangan Pedu pada 297.25 ekar kaki bersamaan 64.64 peratus, Empangan Muda pada 330.35 ekar kaki (101.4 peratus) dan Empangan Ahning pada 324.84 ekar kaki (67.34 peratus).

MADA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peningkatan itu didorong oleh jumlah turunan hujan yang tinggi di kawasan tadahan, masing-masing 117 milimeter (mm) di Pedu, 160 mm di Muda dan 251 mm di Ahning dalam tempoh enam hari bermula 23 November.

“Susulan turunan hujan menyeluruh tersebut, MADA telah menutup pelepasan air dari empangan pada 23 November lalu sebagai langkah kawalan awal selaras dengan prosedur operasi standard,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, seiring dengan kenaikan paras air, Empangan Muda mula melimpah melalui struktur spillway pada pukul 1 pagi semalam setelah parasnya melepasi aras limpah 330 kaki.

“Limpahan adalah terkawal dan masih dalam julat operasi normal. Setakat pukul 8 pagi semalam, paras air berada pada 330.35 kaki dengan kadar limpahan 168.08 cusec.

“Semua rekod limpahan dipantau serta-merta dan maklumat teknikal disalurkan kepada agensi berkaitan bagi tindakan pemantauan lapangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, MADA turut mengambil kira amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tempoh 27 hingga 29 November melibatkan ribut tropika, hujan berterusan dan angin kencang.

“Keadaan ini menjadi faktor utama MADA meningkatkan kesiapsiagaan dan mengurus operasi empangan dengan lebih ketat,” katanya.

MADA turut menegaskan bahawa pemantauan paras empangan, keadaan cuaca dan sistem saliran dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap perkembangan dapat ditangani dengan cepat dan mengikut prosedur ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button