PM buat kejutan tinjau raptai penuh Hari Kebangsaan 2025
PUTRAJAYA – Raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pagi ini dimeriahkan dengan kehadiran mengejut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir meninjau persiapan akhir di Dataran Putrajaya.
Anwar tiba kira-kira pukul 8.30 pagi dan sempat beramah mesra dengan orang ramai yang hadir menyaksikan raptai, selain meninjau segmen persembahan grafik manusia yang bakal menjadi tarikan utama sambutan kali ini.
Perdana Menteri turut diberi taklimat ringkas mengenai persiapan keseluruhan acara yang dijadual berlangsung Ahad ini.
Mengiringi beliau ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang hadir lebih awal sekitar pukul 7.30 pagi bagi meninjau kelancaran raptai di pentas utama, termasuk kawalan lalu lintas serta penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan sekolah.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan tahun ini dijangka lebih meriah dengan pembabitan lebih 14,000 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias serta persembahan seni budaya, selain 14 das tembakan meriam semasa nyanyian lagu Negaraku.
Selain perarakan, pelbagai pengisian menarik turut disusun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pengunjung antaranya segmen Riuh Merdeka.
Riuh Merdeka menampilkan 20 persembahan termasuk artis terkenal serta tayangan filem terbuka yang akan berlangsung di tapak parkir Monumen Alaf Baru di Presint 2 bermula pukul 12 tengah hari pada 30 Ogos ini sehingga keesokannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








