JENAYAH & MAHKAMAH

Penjawat awam pukul kakak ipar dakwa urusan rumahtangga dicampuri

ALOR SETAR – Seorang wanita cedera di kepala, dahi kiri dan lutut kanan akibat dipukul adik iparnya dalam satu insiden di Taman Budiman, di sini pada Selasa.

Susulan insiden itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan semalam berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun mengenai kejadian yang berlaku pada pukul 7 malam, ketika dia sedang berada di rumah bersama ahli keluarganya.

“Mangsa mendakwa suspek memandu kereta dengan laju dan berhenti mengejut di hadapan rumah. Dalam kereta terdapat isteri (yang juga adik mangsa) dan anak berusia dua tahun.

“Mangsa kemudian memegang penyapu dan mengarahkan suspek keluar dari kereta. Berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum dileraikan ibu bapa mangsa.

“Suspek kemudian dikatakan menolak kakak iparnya hingga jatuh dan terkena dinding rumah menyebabkan mangsa cedera,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada kemarahan suspek yang mendakwa mangsa mencampuri urusan rumah tangganya.

“Mangsa adalah anak sulung daripada lima adik beradik dan belum berkahwin, tinggal di rumah itu bersama ibu bapa dan adiknya iaitu isteri suspek serta anak suspek,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button