JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan beberapa individu bantu siasatan kes pelajar, bapa dipukul

KUALA LUMPUR – Polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar berusia 16 tahun dan bapanya dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, semua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah.

“Mangsa kemudian dipanggil oleh beberapa pelajar dari sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul oleh semua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelajar terbabit mengalami kecederaan di bahagian bibir dan lutut selain lebam serta sakit di seluruh badan.

Katanya, bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan, menyebabkan lelaki itu cedera pada tangan dan kaki serta mengalami kesakitan di seluruh badan.

Muhamad Farid berkata, polis sedang bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan siasatan dijalankan secara profesional serta mengikut lunas undang-undang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyebaran kandungan berkaitan kejadian itu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan meminta individu yang mempunyai maklumat tampil membantu dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button