Mia Azahar: Kisah anak MARA yang menjadi inspirasi belia
KUALA LUMPUR – Tidak semua perjalanan besar bermula dengan modal ribuan ringgit atau strategi perniagaan yang rumit.
Bagi Mia Azahar, 31, segalanya bermula dengan sesuatu yang hampir tidak masuk akal iaitu menjual baju transit yang sudah tidak muat ketika di sekolah rendah.
Namun daripada langkah kecil itulah lahirnya seorang ikon belia yang kini diangkat sebagai Ikon Usahawan Muda MARA.
Mia, alumni Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) tidak pernah menyangka minat berniaga yang muncul secara spontan pada usia kanak-kanak akan membawanya ke pentas lebih besar.
“Saya dulu cuma nak let go baju transit sebab dah tak muat. Tak sangka benda kecil macam tu rupanya pintu rezeki saya sampai ke hari ini,” katanya mengenang permulaan yang begitu sederhana.
Sejak itu, naluri berniaga terus subur dalam dirinya. Di menara gading, jadual Mia sentiasa penuh.
Daripada menghadiri kelas, menyiapkan tugasan, membungkus tempahan pelanggan dan berkejar menghantar barang. Semuanya dilakukan seorang diri tanpa keluhan.
“Waktu kawan lain rehat atau keluar makan, saya selit masa untuk pos barang. Memang penat tetapi saya rasa seronok sebab belajar berdikari,” ujarnya.

Perjalanan tersebut kemudian membawa Mia ke dunia pencipta kandungan digital sekali gus membuka peluang lebih luas.
Kehadirannya di media sosial menarik perhatian syarikat YAYA Empire yang menawarkan kerjasama bersama jenama YAYA Perfume.
Kolaborasi itu menjadi titik perubahan besar dalam kerjaya kreatif dan keusahawanannya.
“Kerjasama itu ajar saya cara fikir lebih besar, bukan hanya jual produk tapi bina jenama dan kepercayaan,” jelasnya.
Berbekalkan pengalaman tersebut, Mia melancarkan jenamanya sendiri, Twinkle By Mia Azahar yang kini semakin mendapat tempat dalam pasaran dengan rangkaian lip matte, body wash dan set mandian travel.
Dalam masa yang sama, pengaruhnya di media sosial terus berkembang sehingga memiliki lebih 2.3 juta pengikut, angka yang menjadikannya antara figura belia paling berpengaruh ketika ini.
Prestasi itu menarik perhatian MARA sehingga Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengisytiharkannya sebagai Ikon Usahawan Muda MARA.
Pengiktirafan tersebut bukan sekadar meraikan kejayaan Mia tetapi juga membuktikan bahawa pelajar institusi MARA mampu mencipta impak besar apabila ruang, peluang dan sokongan diberi.
Namun kejayaan Mia tidak hadir tanpa cabaran. Di sebalik video ceria dan senyumannya, dia pernah berdepan tekanan dan keletihan.
“Saya pernah rasa burnout. Tapi saya pilih untuk jujur dengan pengikut sebab saya nak anak muda tahu, kejayaan itu bukan mudah. Ada hari kita kuat, ada hari kita rebah. Tapi jangan berhenti,” katanya.
Kini, Mia aktif berkongsi kisahnya kepada belia tentang membina perniagaan dari bawah, mengurus tekanan dan berani percaya pada permulaan kecil.
Perjalanannya menjadi bukti bahawa kejayaan tidak memerlukan modal besar tetapi bermula dengan keberanian mencuba.
Dan bagi Mia, semuanya bermula dengan sehelai baju transit yang pernah dianggap remeh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















