SSDM kembali kepada fungsi asal, guru tidak lagi perlu rekod perkara remeh – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan dikembalikan kepada fungsi asal sebagai sistem rekod disiplin, sekali gus mengurangkan beban tugas guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan memastikan guru dapat menumpukan sepenuhnya kepada proses pengajaran terutama menjelang pelaksanaan Kurikulum Baharu Sekolah Rendah dan Menengah pada 2026 dan 2027.
“SSDM hanya untuk mencatat salah laku dan tindakan disiplin sahaja. Guru tidak perlu lagi merekod perkara remeh seperti murid tidak membawa buku latihan.
“Secara umum, anak-anak kita baik dan menjadi kebanggaan kita,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Suara Guru Malaysia di Universiti Malaya (UM), hari ini.
Beliau berkata, penambahbaikan itu turut memastikan sistem berfungsi bagi mengesan murid yang benar-benar memerlukan intervensi, sama ada daripada Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa atau agensi sosial berkaitan.
“SSDM tidak boleh dijadikan mekanisme perbandingan antara sekolah atau beban tambahan untuk guru, sebaliknya kembali kepada tujuan asal iaitu membantu pengurusan disiplin murid.
“Perincian penambahbaikan ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar meringankan tugas guru,” katanya lagi.
Pengumuman itu disambut baik warga pendidik yang sekian lama menzahirkan kebimbangan mengenai tugas perkeranian berlebihan sehingga menjejaskan fokus di bilik darjah.
Langkah KPM itu dilihat sebagai usaha berterusan bagi memartabatkan profesion guru serta memastikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif dan berkesan di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















