POLITIK

Selepas Kuala Kangsar, Ahli Parlimen Labuan pula umum sokong PM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman mengumumkan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya dalam satu kenyataan, keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan dengan teliti dan secara terperinci terhadap rintihan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Selain itu katanya, mereka juga berdepan dengan masalah bekalan air dan masalah bekalan elektrik yang dideritai sejak hampir 15 tahun lamanya.

“Maka mengambil kira ke atas semua permasalahan rakyat Labuan yang saya nyatakan diatas, saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia Ke-10 bermula daripada tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Sukacita juga saya mengumumkan bahawa saya turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah yang mana banyak membantu rakyat Labuan melalui anak syarikat GLC Sabah dari segi peluang pekerjaan dan peluang perniagaan secara kecil-kecilan sejak mula beliau mengambil pucuk kepimpinan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, meskipun membuat keputusan itu, beliau akan terus setia dan kekal sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Meskipun berkemungkinan akan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, namun saya bersedia menerimanya demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela dari terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan kerana perbalahan naratif politik seperti mana yang berlaku sekarang.

“Saya dengan ini menyokong dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihanraya umum (PRU) yang ke-16 akan datang.

“Saya juga ingin menyatakan disini bahawa pengisytiharan sokongan saya ini kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan saya melakukan dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button