CUEPACS hargai pengumuman PM
PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merakamkan penghargaan kepada kerajaan susulan beberapa pengumuman penting oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-20, hari ini.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kelonggaran syarat mengerjakan haji bagi penjawat awam yang belum disahkan jawatan memberi kelebihan kepada penjawat awam yang sudah menerima giliran mengerjakan haji namun belum disahkan jawatan, lapor BERNAMA.
“Yang pertamanya ialah daripada segi mengerjakan haji penjawat awam telah pun dilonggarkan syarat untuk boleh pergi mengerjakan haji walaupun tanpa disahkan jawatan.
“Ini kerana kita dapati ramai penjawat awam yang mendapat giliran hajinya tetapi pada masa sama tidak sah dalam jawatan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Adnan berkata, keputusan itu adalah antara perkara dimohon CUEPACS dan disambut baik kerana memberi peluang kepada penjawat awam untuk menunaikan ibadat tersebut lebih awal.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut meneruskan pelaksanaan program pembelajaran sepanjang hayat melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hingga 2026 dengan peruntukan maksimum RM15,000.
“Ini memberi peluang kepada anggota perkhidmatan awam untuk terus (mengikuti) pembelajaran sepanjang hayat ataupun menambah dari segi kemahiran termasuk pembelajaran yang lebih tinggi supaya mereka mampu memberi perkhidmatan lebih baik.
“Sehingga 2026, peluang lebih besar akan diberikan kepada penjawat awam untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka, termasuk menaik taraf pensijilan yang diperoleh,” katanya.
Adnan berkata, pengumuman Perdana Menteri berkenaan pemberian Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) memberi harapan baharu kepada penjawat awam untuk terus melanjutkan pelajaran secara usaha sendiri, sekali gus meningkatkan prestasi dan produktiviti sektor perkhidmatan awam.
“Walaupun secara sekali beri, amat terharu kerana pengiktirafan dan susah payah penjawat awam yang belajar secara sendiri, kos sendiri dan komitmen tinggi… telah diberi pengiktirafan oleh kerajaan dalam bentuk hadiah pengiktirafan ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








