Pesara guru rugi RM165,000 diperdaya ‘Zaharah’ menyamar pihak berkuasa
KUALA TERENGGANU – Seorang pesara guru terpaksa menanggung hutang RM130,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pihak berkuasa melalui panggilan telefon, sekali gus menyebabkan wang simpanannya turut lesap.
Mangsa wanita berusia 64 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 1.21 petang, semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 23 November tahun lalu apabila mangsa menerima beberapa panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pendakwa raya, pegawai penyiasat polis dan wakil pihak berkuasa.
Menurutnya, mangsa didakwa terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta kesalahan berkaitan keselamatan kanak-kanak sebelum diugut kononnya berada dalam bahaya sekiranya tidak mematuhi arahan diberikan.
“Suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Zaharah’ kemudian mengarahkan mangsa membuat pinjaman peribadi sebanyak RM150,000 di sebuah bank.
“Selepas pinjaman diluluskan kira-kira RM130,000, mangsa memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank miliknya sebelum diarahkan membuat beberapa transaksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa turut melakukan tiga transaksi deposit tunai ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM36,000 bagi tujuan kononnya menyelesaikan kes yang dihadapi.
Bagaimanapun, mangsa kemudian mendapati wang sebanyak RM129,900 dalam akaunnya telah dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali tanpa kebenaran antara 30 Disember hingga 15 Mac lalu.
“Siasatan mendapati sindiket telah mendaftar dan mengaktifkan perbankan internet atas nama mangsa tanpa pengetahuan serta kebenarannya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM165,000 melibatkan wang pinjaman dan simpanannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










