13 maut dalam nahas pesawat pelancong di Peru
LIMA – Seramai 13 orang maut selepas sebuah pesawat kecil yang membawa pelancong terhempas ketika melakukan penerbangan persiaran di ruang udara garisan Nazca, salah satu tapak warisan dunia UNESCO di selatan Peru, semalam.
Menurut pihak berkuasa Peru, kesemua mangsa iaitu 11 penumpang dan dua juruterbang disahkan maut dalam nahas itu.
Pesawat milik syarikat Aerodiana itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Pisco untuk membawa pelancong menyaksikan garisan Nazca dari udara sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan beberapa minit kemudian.
Pesawat terbabit kemudian ditemui terhempas di kawasan Pueblo Viejo, berhampiran bandar Nazca.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan bangkai pesawat terbakar di kawasan padang pasir, namun kesahihan rakaman itu belum dapat disahkan secara bebas.

Laporan media tempatan menyatakan mangsa terdiri daripada tujuh pelancong warga Itali, masing-masing dua warga Sepanyol dan Jerman, selain juruterbang dan pembantu juruterbang warga Peru.
Pihak berkuasa Peru telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas, manakala Suruhanjaya Siasatan Kemalangan Penerbangan negara itu bersama Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi mengetuai siasatan.
Garisan Nazca yang terkenal dengan ukiran geoglif purba di padang pasir merupakan antara destinasi pelancongan utama Peru dan lazimnya dikunjungi kira-kira 100,000 pelancong setiap tahun yang memilih penerbangan persiaran untuk melihat formasi berkenaan dari udara. -AGENSI
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















