Malaysia nyatakan solidariti terhadap mangsa nahas Air India
PUTRAJAYA – Malaysia menyatakan solidariti terhadap kerajaan dan rakyat India, United Kingdom, Portugal dan Kanada berikutan insiden nahas membabitkan pesawat Air India penerbangan AI171 yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat semalam, Kementerian Luar menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap keluarga mangsa yang terkorban serta semua individu yang terjejas dalam insiden berkenaan.
Pesawat berkenaan, yang dijadualkan menuju ke Lapangan Terbang Gatwick di London, dilaporkan telah merempuh kompleks asrama sebuah kolej perubatan di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang, menyebabkan kehilangan nyawa yang besar.
Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia berada dalam pesawat terbabit.
Bagaimanapun, pihak konsulat kini sedang memantau rapi perkembangan semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya diperlukan.
Warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di talian +91 22 6996 5757 atau hadir terus ke pejabat di Unit 12A1, 12A2 dan 12A3, Tingkat 13, Bangunan Supreme Headquarters, Jalan ke-14 dan ke-33, berhampiran Link Square Mall, Bandra West, 400 050 Maharashtra, India.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner itu membawa seramai 230 penumpang dan 12 anak kapal ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad pada pukul 1.38 tengah hari waktu tempatan, menuju ke London Gatwick.
Air India mengesahkan bahawa antara penumpang yang berada dalam pesawat termasuk 169 warganegara India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang rakyat Kanada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








