BERITA SEMASA

Bachok daerah pertama di Kelantan dilanda banjir, PPS mula terima mangsa

KOTA BHARU – Bachok daerah pertama di Kelantan yang dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka lewat malam tadi berikutan kenaikan air yang mula menjejaskan penduduk.

Menurut portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 38 mangsa daripada 11 keluarga telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan setakat jam 12.52 tengah malam.

“Mangsa terdiri daripada seorang bayi perempuan, 12 lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan,” memetik BH online.

Banjir di Bachok berlaku selepas hujan berterusan sejak petang semalam, selaras dengan amaran awal dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi tempoh 19 hingga 21 November.

Ramalan itu turut melibatkan sembilan jajahan berisiko seperti Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.

Tinjauan menerusi laman Public Info Banjir mendapati dua sungai utama kini menunjukkan peningkatan paras air dan telah melepasi paras waspada.

Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang mencatat 58.08 meter (paras waspada 56 meter), manakala Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai merekodkan 31.02 meter, melepasi paras waspada 30 meter.

Keadaan cuaca yang masih tidak menentu menimbulkan kebimbangan kemungkinan lebih banyak kawasan bakal dinaiki air sekiranya hujan berterusan.

Pihak berkuasa terus memantau paras sungai dan menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pemindahan jika diarahkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button