BERITA SEMASA

KPT selaras bantuan RM500 kepada pelajar Indonesia terkesan banjir

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik keputusan kerajaan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan susulan bencana di wilayah Aceh dan Sumatera Utara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, KPT menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap kebajikan pelajar antarabangsa, khususnya mereka yang berjauhan daripada keluarga ketika berdepan situasi genting.

“Sebagai negara jiran dengan hubungan persaudaraan yang akrab, langkah ini disifatkan selaras dengan semangat kebersamaan Malaysia–Indonesia.

“Bagi menyokong pelaksanaan bantuan tersebut, KPT memaklumkan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta akan menyelaras pendaftaran serta penyaluran bantuan sebanyak RM500 seorang kepada semua pelajar Indonesia yang layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, KPT memberi jaminan bahawa proses akan dilakukan secara teratur bagi memastikan bantuan dapat meringankan beban para pelajar yang terkesan.

Dalam masa yang sama, katanya, KPT turut mengambil maklum keadaan rakyat Malaysia di Aceh, termasuk pelajar yang sedang menuntut di institusi pendidikan di wilayah berkenaan.

“Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka, kementerian itu memutuskan agar bantuan kewangan RM500 seorang serta sokongan tambahan turut dipanjangkan kepada pelajar Malaysia yang terjejas, selaras dengan semangat kepedulian Kerajaan MADANI.

“Pada masa ini, KPT sedang bekerjasama rapat dengan Education Malaysia (EM) di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai lengkap pelajar Malaysia di Aceh dan menilai tahap keperluan mereka.

“KPT turut menzahirkan doa agar semua mangsa bencana diberi kekuatan dan keselamatan, sambil menegaskan komitmen untuk memastikan tiada pelajar sama ada tempatan atau antarabangsa terpinggir daripada perhatian sewajarnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button