BERITA SEMASA

Banjir: Lebih 24,000 mangsa dipindahkan ke PPS

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di seluruh negara terus meruncing apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 24,907 orang melibatkan 8,308 keluarga dengan 142 PPS dibuka di 26 daerah, setakat pagi ini.

Menurut laporan situasi terkini sehingga pukul 6 pagi yang dikeluarkan Pusat Pengurusan Bencana Negara (NADMA), lapan negeri kini terjejas iaitu Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang dan Pahang.

Kesemua negeri itu menunjukkan trend peningkatan konsisten khususnya di kawasan utara dan Pantai Timur.

Kelantan kekal negeri paling teruk dilanda bencana dengan 9,525 mangsa ditempatkan di 40 PPS di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Tumpat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,913 mangsa namun trend di daerah itu menunjukkan sedikit penurunan. Sebaliknya, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh mencatat peningkatan pemindahan penduduk.

Banjir Kelantan
Tiga wanita dirakam mengharungi banjir di sebuah lokasi di Kelantan. – Foto Bernama

Perlis pula merekodkan 5,968 mangsa di 18 PPS dengan angka terus meningkat sejak awal minggu.

Beberapa laluan utama di Kangar, Padang Besar, Mata Ayer dan kawasan sekitar kekal ditutup akibat banjir dan tanah runtuh.

Di Perak, 4,184 mangsa berlindung di 42 PPS, dengan peningkatan ketara direkodkan di Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk.

Manjung sahaja mencatat 1,705 mangsa, selain beberapa laluan ditutup akibat tanah runtuh dan banjir kilat.

Selangor merekodkan 2,964 mangsa di 21 PPS, khususnya di Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Sabak Bernam.

Walaupun trend keseluruhan stabil, beberapa laluan seperti sebahagian Jalan Robinson, Jalan Harmoni dan Persiaran Puncak Alam ditutup sementara akibat limpahan air.

Kedah mencatatkan 2,043 mangsa, kebanyakannya di Kubang Pasu dengan 12 PPS aktif, manakala Terengganu merekodkan 131 mangsa di Besut dan Marang dengan trend meningkat di Besut.

Di Pulau Pinang, Seberang Perai Tengah mencatat 50 mangsa, manakala Raub dan Lipis di Pahang menempatkan 42 mangsa keseluruhan.

MetMalaysia turut mengeluarkan beberapa amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor Timur, Pahang, Kelantan, Terengganu serta di Sabah dan Sarawak.

Beberapa lokasi di Kelantan, Terengganu, Perak dan Pahang diletakkan di bawah amaran hujan berterusan, termasuk kawasan berisiko tinggi di Kelantan seperti Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh yang kini berada pada tahap Hujan Sangat Lebat Berterusan (Bahaya).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button