BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

34,819 laporan rasuah diterima dalam tempoh 5 tahun — SPRM

BANGI – Sebanyak 34,819 laporan berkaitan rasuah diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tempoh lima tahun bermula 2020 hingga April 2025.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,145 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 5,703 individu berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan rasuah.

“Daripada tangkapan tersebut, seramai 2,479 orang telah didakwa dan 1,274 individu disabitkan kesalahan di mahkamah,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Kedua Tahun 2025, di sini semalam.

Tambah beliau, sepanjang tempoh tersebut, SPRM turut berjaya menyita harta bernilai RM3.53 bilion, manakala nilai pelucutan harta mencecah RM27.87 bilion.

Dalam pada itu, mengulas keberhasilan program penguatkuasaan undang-undang yang dianjurkan SPRM, Azam menegaskan kepentingan program berkenaan dalam melahirkan barisan pegawai penyiasat yang lebih kompeten dan mahir selaras dengan keperluan semasa.

“Melalui pendekatan sistematik serta pendedahan terhadap teknologi terkini, pegawai yang mengikuti program ini dapat meningkatkan keupayaan siasatan dan risikan mereka.

“Perkara ini secara langsung membantu mengurangkan tempoh masa siasatan, khususnya bagi kes-kes berprofail tinggi,” jelas beliau.

Menurutnya, jika dahulu siasatan bagi kes berprofail tinggi mengambil masa antara setahun hingga setahun setengah, kini tempoh itu berjaya dikurangkan kepada sekitar enam bulan sahaja.

“Pencapaian ini hasil daripada latihan yang diterima serta pemahaman mendalam pegawai terhadap kes yang dikendalikan.

“Di samping itu, kerjasama antara agensi penguat kuasa lain serta kepakaran dalam bidang forensik akaun turut menyumbang kepada keberkesanan proses siasatan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button