JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar jatuh bangunan asrama, polis rakam keterangan saksi

CYBERJAYA – Pihak polis sudah merakam keterangan beberapa individu termasuk kakitangan sekolah dalam siasatan kes seorang pelajar Tingkatan Tiga yang terjatuh dari bangunan asrama di Sabak Bernam, semalam.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, siasatan masih dijalankan dan beberapa rakaman percakapan telah direkodkan bagi membantu siasatan pihak polis, lapor portal Astro Awani.

“Siasatan masih berterusan, rakaman percakapan individu-individu juga telah diambil bagi membantu siasatan polis… (termasuk) dari pihak sekolah, juga telah diambil,” katanya, hari ini.

Semalam, Polis Selangor mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

Turut dimaklumkan, siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Shazeli berkata, siasatan merangkumi pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekitarnya.

Beliau turut menegaskan, sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, termasuk dakwaan unsur buli, masih terlalu awal untuk disahkan.

Laporan media semalam menyebut mengenai insiden seorang pelajar Tingkatan Tiga berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34 tahun, berkata anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, mengalami pendarahan di bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah dan kecederaan pada paru-paru berdasarkan hasil imbasan CT scan.

Ibunya, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43 tahun, turut dilaporkan berkata keluarganya amat memerlukan doa orang ramai ketika anaknya sedang melalui detik genting ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button