JENAYAH & MAHKAMAH

Dakwaan budak dipaksa minum air cili, polis buka kertas siasatan

KLUANG – Polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dipaksa minum air cili oleh seorang guru di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Taman Sri Kluang, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 8.46 malam semalam, daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan dipercayai dilakukan guru TASKA terbabit terhadap anaknya.

Kejadian dipercayai berlaku 20 Mei lalu dan melibatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa dipaksa minum air cili ketika berada di dapur TASKA berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan kerana kes masih dalam siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kejadian tersebut menjadi tular di media sosial apabila mangsa turut didakwa dihukum berdiri dalam keadaan bogel di hadapan pelajar lain kerana tidak tidur pada waktu tidur petang.

Kanak-kanak tersebut juga dikatakan dipakai skirt seperti perempuan dengan seluarnya dilurutkan hingga ke buku lali sebagai bentuk hukuman.

Malah, guru terbabit dipercayai memberi amaran kepada mangsa dan kanak-kanak lain supaya tidak memberitahu ibu bapa mereka mengenai kejadian tersebut jika tidak mahu dipukul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button