JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki dirakam pulangkan dompet direman 4 hari

KAJANG – Lelaki yang dirakam menyerahkan semula dompet milik pasangan warga China dalam satu video tular direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes kecurian dompet di sebuah pasar raya di Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.37 malam, kelmarin.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang di kawasan CLC Hypermarket, Semenyih.

“Susulan laporan diterima, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat yang tular di media sosial TikTok dan dipercayai dirakam selepas kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang pada pukul 1 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Naazron menambah suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada pihak polis.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian kecemasan MERS 999 atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-89114243,” katanya.

Sebelum ini, tular video pertikaian antara seorang lelaki dan pasangan warga China di sebuah balai polis di sini.

Video terbabit memaparkan pasangan warga China terbabit mendakwa wang tunai sebanyak RM10,000 dalam dompet tersebut hilang ketika lelaki terbabit memulangkan dompet itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button