Polis tahan 5 lelaki serang kenderaan guru
KOTA KINABALU – Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung serangan terhadap sebuah kenderaan milik seorang guru di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman, kejadian itu yang turut menjadi tular di media sosial, dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 30 tahun, terlibat dalam provokasi lisan dengan lima suspek tersebut.
“Guru itu kemudian mengundurkan kenderaan dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kereta lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, katanya, beberapa individu kemudian mengejar mangsa dan memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang kenderaan tersebut.
“Mangsa juga mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan semasa kejadian.
“Susulan kejadian, mangsa kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian pada pukul 2.35 petang hari yang sama.
“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan operasi segera dan berjaya menahan lima lelaki tempatan malam tadi bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya lagi.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







