Jasad dalam keadaan kaki, tangan terikat ditemukan di tepi landasan kereta api
HULU SELANGOR – Polis mengesahkan penemuan satu jasad dengan kepala dibalut kain serta tangan dan kaki diikat di tepi landasan kereta api dekat Sungai Serian, Kalumpang, di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan jasad yang juga sudah berulat itu daripada orang awam sekitar pukul 10.30 pagi.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa dipercayai dicampak dari Jambatan Kampung Sungai Serian yang berketinggian 11.15 meter.
“Siasatan pihak forensik turut mendapati, kaki dan tangan mangsa diikat selain kepala dibalut dengan kain yang dilekatkan menggunakan pita pelekat hitam dan putih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan fizikal ke atas jasad itu mendapati, mangsa sudah meninggal dunia melebihi empat hari berdasarkan keadaan mayat yang mereput.
Pemeriksaan lanjut ke atas jasad berkenaan bagaimanapun tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Jasad telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada pukul 9 pagi, esok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadlu Abdul Aziz di talian 03-60641222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








