Ketibaan pelancong asing ke Malaysia meningkat 20.4 peratus bagi tempoh Januari-Mei 2025
KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong asing sebanyak 20.4 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan jumlah keseluruhan 16.94 juta pelawat berbanding 14.07 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar pelancong asing dengan ketibaan 8.34 juta pelawat, meningkat 26.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Indonesia mencatatkan 1.82 juta pelawat (peningkatan 10.3 peratus) manakala China pula berada di tempat ketiga dengan 1.81 juta pelawat menunjukkan pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 38.8 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web rasmi Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH–Seputeh) berhubung pecahan pelancong asing mengikut negara dari Januari hingga Jun 2025 serta unjuran bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menurut Tiong, Thailand menyumbang 1.06 juta pelawat dengan peningkatan 5.2 peratus manakala ketibaan dari India mencatatkan 664,811 pelawat, meningkat 32 peratus, menunjukkan pemulihan kukuh dari pasaran berkenaan.
Bagi pasaran jarak jauh, Australia merekodkan 198,968 ketibaan (peningkatan 16.6 peratus) manakala United Kingdom mencatatkan 185,197 pelawat (naik 8.7 peratus).
Beliau berkata, peningkatan ketibaan pelancong asing itu mencerminkan kejayaan pelbagai inisiatif strategik kerajaan termasuk pelaksanaan dasar progresif seperti Pelan Liberalisasi Visa (PLV).
“Inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia, malah menjadi asas penting bagi menyokong sasaran Kempen Melawat Malaysia 2026 secara mampan dan inklusif,” katanya.
Kementerian menyasarkan ketibaan seramai 47 juta pelawat asing menjelang tahun 2026 dengan tumpuan kepada pasaran berpotensi tinggi seperti Asia Tengah, Asia Barat, ASEAN, Eropah dan Oceania.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








