Teresa beri amaran kepada Jamal hentikan kenyataan fitnah
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memberi amaran kepada Datuk Jamal Yunos untuk menghentikan kenyataan berunsur fitnah atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Teresa berkata, beliau berharap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu akan bermuhasabah, menghentikan sindiran berunsur fitnah dan bertindak secara bertanggungjawab pada masa hadapan.
“Sekiranya kenyataan berunsur fitnah ini berterusan dan jika terdapat sebarang pelanggaran lanjut terhadap perintah injunksi Mahkamah Tinggi, saya tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk prosiding penghinaan mahkamah bagi mempertahankan kewibawaan mahkamah serta melindungi reputasi dan integriti saya.
“Ini bukanlah langkah yang saya ambil dengan ringan, namun ia mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya tingkah laku tidak bertanggungjawab ini berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Jamal menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membuka semula pengulangan tuduhan melibatkan Ahli Parlimen itu.

Mengulas lanjut Teresa berkata, sebelum ini beliau memilih untuk tidak menjawab setiap provokasi atau kenyataan tidak bertanggungjawab kerana tidak percaya rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada serangan politik yang berterusan atau cubaan mencipta kontroversi demi perhatian peribadi.
Katanya, tumpuannya sentiasa tertumpu kepada khidmat kepada rakyat, memperkukuh keharmonian serta memastikan wacana politik kekal bertanggungjawab, berhemah dan berlandaskan kebenaran.
Namun katanya, apa yang kini amat membimbangkan ialah perkara itu bukan lagi sekadar komen politik atau kritikan biasa.
“Apa yang amat dikesali ialah cara yang kasar dan tidak bertanggungjawab dari segi moral yang terus digunakan oleh Jamal, termasuk percubaan beliau memperlekeh dan mempersendakan jumlah yang telah diperintahkan oleh mahkamah.
“Menjadikan pematuhan terhadap keputusan mahkamah sebagai bahan sindiran yang lucah bukan sahaja menghina, malah mencerminkan sikap tidak menghormati proses kehakiman dan nilai kesopanan asas.
“Ini bukan kritikan yang sah. Ia adalah provokasi yang disengajakan serta serangan terhadap peribadi melalui bahasa yang menjatuhkan dan tidak bertanggungjawab.
“Lebih penting lagi, terdapat perintah injunksi Mahkamah Tinggi yang masih berkuat kuasa. Pengulangan atau penerbitan semula kenyataan berunsur fitnah yang melanggar perintah mahkamah adalah perkara yang serius. Perintah mahkamah bukan pilihan, dan tiada siapa yang mengatasi undang-undang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















