Teresa Kok buat laporan polis terhadap 18 pemilik akaun Facebook, satu akaun Thread sebar artikel berbaur fitnah
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat laporan polis atas satu artikel yang berbaur fitnah yang bertajuk “Sijil halal untuk babi adalah wajar – Teresa Kok”.
Teresa berkata, pada masa sama beliau turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penularan artikel itu.
“Saya terpaksa membuat laporan polis dan laporan kepada MCMC kerana artikel ini telah tular di media sosial, dan saya langsung tidak pernah membuat kenyataan ini,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling di sini.
Menurut Teresa, artikel itu adalah berunsur fitnah dan beliau tidak pernah membuat kenyataan begini.
Setakat ini katanya, 18 akaun Facebook yang menyiarkan artikel fitnah dan palsu itu turut dilaporkan.
“Selain itu, satu akaun bernama “infra.gadget” di media sosial Thread juga menyebarkan artikel palsu tersebut.
“Artikel palsu dan berunsur fitnah ini telah mencemarkan nama baik saya dan menjadikan saya sebagai penghasut kaum dan agama yang menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya memohon pihak polis menjalankan siasatan terhadap kesemua pemilik akaun media sosial yang menyiarkan artikel yang berbaur hasutan ini dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







