Bekas pembantu Ahli Parlimen Seputeh mengaku tidak bersalah menipu, terima suapan
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan memperdayakan Teresa Kok serta menerima suapan berjumlah RM500,000 berkaitan urusan perolehan papan pintar interaktif, dua tahun lalu.
Tertuduh, Edmund Teoh Kheng Yaik, berusia 40 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik sahaja kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, Teoh didakwa menipu Teresa Kok dengan memberikan maklumat palsu kononnya hanya dua buah sekolah di Parlimen Seputeh yang memohon sumbangan papan pintar interaktif.
Hakikatnya, tertuduh mengetahui bahawa terdapat 16 buah sekolah yang membuat permohonan tersebut.
Tindakan itu secara tidak langsung mendorong Teresa Kok memberikan kelulusan sumbangan melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat, yang mana persetujuan tersebut tidak akan diberikan sekiranya beliau tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh di Jalan Kuchai Lama pada Jun 2024.
Bagi dakwaan ini, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, Teoh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM500,000 daripada seorang lelaki di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.
Suapan tersebut dipercayai sebagai balasan kerana membantu syarikat TMT IT Solutions milik isteri lelaki berkenaan mendapatkan kontrak pembekalan papan pintar serta peralatan berkaitan untuk 16 buah sekolah di parlimen tersebut.
Pertuduhan kedua difailkan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk prosedur seterusnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















