BERITA SEMASAPOLITIK

Isu ternakan babi: Kenyataan ADUN Seri Kembangan cetus kemarahan rakyat

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang didakwa membangkitkan isu ternakan babi sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam, malah mendakwa telah membuka ruang kepada tindakan melampau termasuk penghinaan terhadap institusi diraja.

Dalam kenyataannya hari ini, Jamal mengaitkan polemik itu dengan kemunculan imej suntingan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah sultan secara biadap dan menghina.

Katanya, tindakan menyunting gambar itu bukan sahaja melampaui batas, malah mencemar kedaulatan Sultan Selangor yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

“Kenyataan yang dibangkitkan beliau bukan sahaja menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam, malah dilihat telah menghasut serta membuka ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk bertindak lebih melampau sehingga sanggup menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan ADUN Seri Kembangan yang gagal memahami sensitiviti rakyat serta terus memainkan isu yang mencetuskan kemarahan awam adalah punca kepada tercetusnya keadaan yang tidak sihat ini,” katanya.

Sehubungan itu, Jamal memaklumkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu terlibat, termasuk mereka yang didakwa mencetuskan polemik sehingga membawa kepada penyebaran kandungan menghina berkenaan.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi bagi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara serta institusi Raja-Raja Melayu tidak diperlekehkan.

“Institusi diraja wajib dihormati dan dipertahankan. Jangan sesekali cuba menguji kesabaran rakyat Selangor dalam isu yang melibatkan maruah Sultan dan negeri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button