Sultan Abdullah, Tunku Azizah zahir takziah tragedi platform minyak Sepat
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi platform minyak di perairan Terengganu-Kelantan, tengahari semalam.
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang hari ini, baginda berdua turut menzahirkan rasa simpati terhadap tragedi berkenaan yang mengorbankan beberapa pekerja termasuk dua anak jati Pahang.
“Baginda berdua mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini selain dipermudahkan segala urusan mereka.
“Baginda juga mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu.
Dua anak watan Pahang yang terkorban dalam insiden berkenaan ialah Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan dan Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota.
Dalam kejadian itu, tiga pekerja dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di platform minyak Sepat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








