JENAYAH & MAHKAMAH

Pelancong wanita China lebam dilastik, polis buru suspek

KOTA KINABALU – Polis sedang mengesan individu yang melastik seorang pelancong wanita warga China dalam kejadian di Jalan Kota Kinabalu Lama 2, berhampiran bangunan Public Bank, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden kira-kira jam 7 malam membabitkan pelancong wanita berusia 31 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa sedang berjalan kaki bersama suaminya sebelum tiba-tiba terkena objek dipercayai dilastik dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada bahagian badan sebelum tampil membuat laporan polis.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan keselamatan orang lain,” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang berada di lokasi kejadian pada waktu berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Beliau turut meminta mana-mana pemilik kenderaan yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dan melalui Jalan Kota Kinabalu Lama 2 atau Jalan Pantai antara jam 6.45 petang hingga 7.15 malam pada tarikh kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada polis.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Damian Frederick di talian 017-6561513 atau Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-310208,” katanya.


SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button