
Vokalis kumpulan muzik dipukul sekumpulan individu di Johor Bahru
JOHOR BAHRU – Vokalis kumpulan muzik tempatan Ampunk Sindicate mendakwa dirinya telah diserang sekumpulan individu yang dipercayai terdiri daripada kumpulan skinhead ketika berada di sebuah lokasi awam di sini semalam.
Menurut kenyataan rasmi kumpulan tersebut berkata, insiden berkenaan berlaku apabila mangsa yang dikenali sebagai Zed, keluar dari tandas sebelum diserang secara beramai-ramai oleh enam hingga tujuh individu dewasa.

“Kami melihat ini sebagai satu tindakan pengecut dan tidak berperikemanusiaan. Vokalis kami dipukul beramai-ramai tanpa sebarang sebab yang munasabah. Dalam rakaman video kejadian, turut kelihatan cubaan menggunakan senjata serta tong besi untuk mencederakan mangsa,” menurut hantaran di laman Facebook hari ini.
Pihak kumpulan turut menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu cubaan membunuh dan memalukan industri muzik bebas tempatan, khususnya melibatkan penggiat seni dari aliran punk dan skinhead.

Mereka mendakwa punca serangan adalah tidak berasas, antaranya kerana Zed didakwa tidak ‘salam cium tangan’ salah seorang daripada individu terlibat.
Lebih mengejutkan, ketika kumpulan berkenaan sedang membuat persembahan, seorang lelaki didakwa menyimbah cecair berbau hancing dipercayai air kencing ke arah ahli kumpulan di atas pentas.
Zed menerusi kenyataan ringkasnya berkata, sebagai anak seni, beliau hanya mahukan ruang selamat dan bebas untuk berkarya.
“Seni bukan tempat perbalahan fizikal. Seni tiada ruang untuk pembuli. Seni adalah ruang yang selesa untuk kita saling merasa,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada beberapa individu yang tampil membantu ketika kejadian berlaku termasuk Abang Din, Edy J Herwan dan Kak Mona.
Kumpulan Ampunk Sindicate menyeru semua pihak dalam komuniti muzik untuk menolak budaya buli dan keganasan dalam mana-mana acara melibatkan seni dan persembahan pentas.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung insiden berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







