1,993 kandungan media sosial dan 3,670 laman sesawang lucah diturunkan dari 2022 hingga kini
KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,993 kandungan media sosial bersifat lucah telah diturunkan dari tahun 2022 sehingga 15 Februari 2025 oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, manakala 3,670 laman sesawang telah dikenakan tindakan sekatan bagi tempoh yang sama menurut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Bagi memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, MCMC telah mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang berdaftar mematuhi obligasi-obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang telah diterbitkan oleh MCMC dan seterusnya meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dan interaksi dalam talian yang disediakan kepada pengguna,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang ingin tahu apakah polisi dan langkah Kementerian Komunikasi menangani iklan bahan lucah di media sosial, tabloid dan media massa dalam talian.
Mengulas lanjut katanya, MCMC juga komited untuk memastikan keselamatan dan etika penggunaan media dalam talian tidak melanggar peruntukan di bawah Akta 588 dan undang-undang lain yang berkaitan.
Katanya, di bawah seksyen 233 Akta 588 Pindaan 2025 [Akta A1743] yang berkuat kuasa mulai 11 Februari lalu, penyebaran kandungan bersifat lucah bagi tujuan komersial jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM10,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada mana-mana pihak yang dikenal pasti telah melakukan kesalahan tersebut bagi membendung penyebaran iklan bahan lucah di media sosial.
“Tindakan pemantauan proaktif oleh MCMC serta kerjasama dengan penyedia perkhidmatan terus dipertingkatkan bagi memastikan iklan bahan lucah di media sosial dapat dikenal pasti, disekat dan diturunkan dengan kadar segera,” katanya.
Selain itu katanya, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang merupakan organisasi kawal selia kendiri yang bebas yang didaftarkan di bawah MCMC sebagai forum industri akan menambah baik Kod Kandungan agar selari dengan pindaan Akta 588 dan Keselamatan Dalam Talian.
Beliau berkata, antaranya ialah kandungan yang melibatkan kanak-kanak (CSAM) mesti mengutamakan kebajikan mereka dan mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi, termasuk melalui imej atau deskripsi yang boleh mendedahkan identiti atau membahayakan mereka.
“Ini bukan sekadar isu etika tetapi juga soal menjaga maruah dan kesejahteraan masa depan individu yang terdedah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








