BERITA SEMASASUKAN

Itali tersingkir lagi, gagal layak Piala Dunia kali ketiga berturut-turut

BOSNIA-HERZEGOVINA – Impian Itali untuk kembali ke pentas Piala Dunia terus berkecai apabila tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Bosnia dan Herzegovina selepas terikat 1-1, sekali gus menyaksikan juara empat kali itu gagal layak buat kali ketiga berturut-turut.

Kegagalan terbaharu itu menambah episod hitam buat Itali yang kali terakhir layak ke Piala Dunia pada 2014, selepas turut terkandas di peringkat penentuan (play-off) dalam dua edisi sebelumnya.

Dalam perlawanan tersebut, Itali bermula cemerlang apabila mendahului seawal minit ke-15 menerusi jaringan Moise Kean hasil rembatan menarik dari luar kotak penalti.

Namun, keadaan berubah apabila Alessandro Bastoni dilayangkan kad merah tiga minit sebelum tamat babak pertama, sekali gus memberi kelebihan kepada tuan rumah.

Bosnia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Haris Tabakovic pada minit ke-79 sebelum kedua-dua pasukan diheret ke penentuan penalti.

Dalam penentuan itu, dua pemain Itali, Pio Esposito dan Bryan Cristante gagal menyempurnakan sepakan masing-masing, manakala Bosnia tenang menjaringkan kesemua sepakan untuk mengesahkan kemenangan.

Bosnia yang sebelum ini sering berdepan kekecewaan di pentas play-off akhirnya mencipta kejayaan apabila melangkah ke Piala Dunia dan akan beraksi dalam Kumpulan B bersama Kanada, Qatar dan Switzerland.

Jurulatih Bosnia, Sergej Barbarez memuji semangat pemainnya yang disifatkan memiliki ketenangan luar biasa ketika berdepan tekanan.

“Pemain muda ini mempunyai karakter dan mereka membanggakan kami. Mereka bermain dengan tenang tanpa rasa gentar,” katanya.

Sementara itu, pemain Itali, Leonardo Spinazzola meluahkan kekecewaan mendalam terhadap kegagalan tersebut.

“Kanak-kanak Itali akan menyaksikan satu lagi Piala Dunia tanpa pasukan kebangsaan. Saya masih tidak percaya kami tersingkir dengan cara ini,” katanya.

Sejak menjulang trofi pada 2006, Itali hanya mencatat satu kemenangan di pentas Piala Dunia, sekali gus menandakan kemerosotan ketara pasukan itu di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button