Hari Pekerja 2024: KESUMA rancang adakan 4 siri Program Pocket Talks
PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merancang untuk mengadakan empat siri program Pocket Talks bermula pada 2 April 2024 sehingga 29 April ini bersempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.
Menterinya, Steven Sim berkata, siri program yang melibatkan peserta dalam kalangan majikan, kesatuan sekerja dan penjawat awam itu bakal diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Putrajaya.
“Objektif utama pelaksanaan Program Pocket Talks adalah untuk menyebarluas maklumat mengenai konsep Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan Pekerja (3K).
“Secara umumnya, program ini akan mengupas lebih lanjut tentang bagaimana konsep 3K ini akan memperkasakan pekerja Malaysia selaras dengan kerangka Malaysia Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapanya sebelum merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata,
Sambutan Hari Pekerja 2024 pada 1 Mei ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, sambutan tersebut akan dihadiri oleh lebih daripada 3,000 pekerja yang terdiri dari kesatuan, badan berkanun, sektor awam dan swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Pada tahun ini, 12 Anugerah akan dikurniakan kepada pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen. Selain menyampaikan anugerah dan Perdana Menteri juga akan melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia 2030,” ujarnya.
Tambah Steven Sim, KESUMA secara rasminya mengumumkan Tema Hari Pekerja Tahun 2024 ialah ”Pekerja KESUMA Bangsa” dan logo Hari Pekerja 2024 bertepatan dengan penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia kepada KESUMA.
“Pemilihan tema ini adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama disamping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








