BERITA SEMASA

Pekerja terjejas kebakaran paip gas digalak mohon aturan kerja fleksibel – KESUMA

PUTRAJAYA – Para pekerja yang terjejas dan tidak dapat hadir ke tempat kerja dalam tempoh pemulihan susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya digalakkan untuk memohon kepada majikan untuk Aturan Kerja Fleksibel (AKF).

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata,
langkah tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 60P Akta Kerja 1955 daripada aspek perubahan waktu kerja, hari bekerja atau tempat bekerja.

Justeru itu, KESUMA meminta majikan memberi pertimbangan yang baik dengan mengambil kira waktu kesulitan yang sedang mereka lalui dan meluluskan permohonan pekerja terbabit bagi satu tempoh yang sesuai.

“Majikan sektor swasta dminta mempertimbangkan pemberian cuti ehsan bergaji bagi suatu tempoh yang sesuai supaya pekerja terbabit dapat menguruskan hal berkaitan kerosakan dan kehilangan harta benda mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, majikan dan pekerja yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan isu perburuhan boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia berdekatan atau talian 03-8886 5192 untuk bantuan serta penjelasan mengenai hak-hak pekerja dalam situasi tersebut.

Dalam kejadian semalam, letupan paip gas bawah tanah yang menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, telah mencetuskan kebakaran besar sehingga menyebabkan 145 penduduk cedera dengan kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.

Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya, selain lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas, manakala sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button