Majlis Iftar The Mulia Residences eratkan ukhuwah penduduk pelbagai kaum
CYBERJAYA – Majlis berbuka puasa anjuran komuniti penduduk di The Mulia Residences di sini terus menjadi platform mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Program iftar perdana yang diadakan bersempena sambutan Nuzul Quran itu berjaya menarik kehadiran lebih 350 penduduk yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Menariknya, majlis tersebut bukan sahaja disertai penduduk beragama Islam malah turut dihadiri jiran bukan Muslim yang mengambil peluang merasai suasana berbuka puasa bersama komuniti setempat.
Pengerusi Surau The Mulia Residences, Nor Effendi Nordin berkata, penganjuran majlis itu merupakan tahun kedua selepas mendapat sambutan menggalakkan pada tahun lalu.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran sebelum ini mendorong pihak jawatankuasa surau untuk meneruskan program berkenaan pada tahun ini.
“Alhamdulillah, segala persiapan majlis ini disumbangkan oleh penduduk sendiri, termasuk penyediaan makanan serta kelengkapan logistik seperti kerusi dan meja,” katanya.

Majlis berbuka puasa tersebut turut dimulakan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah selebriti, Da’i Annas.
Nor Effendi berkata, sepanjang Ramadan ini pihak surau turut mengadakan moreh setiap malam yang ditaja secara bergilir-gilir oleh penduduk setempat.
Katanya, lebih istimewa apabila terdapat dalam kalangan jiran bukan Muslim yang tampil membantu menyediakan moreh ketika penduduk Islam menunaikan solat tarawih, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam komuniti berkenaan.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















