Pak Nil sumbang RM3,000 secara ‘live’, bantu pendengar sambut Aidilfitri
KUALA LUMPUR – Keprihatinan penyampai radio terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil menyentuh hati ramai apabila beliau menyumbangkan RM3,000 kepada seorang pendengar yang berkongsi kesulitan hidup menjelang Aidilfitri.
Dalam siaran langsung di Kool FM, wanita dikenali sebagai Amira itu meluahkan kesedihan kerana dia dan suami tidak mampu menyediakan wang lebih untuk diberikan kepada ibu bapa mereka sempena Syawal.
Tersentuh dengan luahan itu, Pak Nil tanpa berlengah terus mengirimkan bantuan secara dalam talian ketika rancangan masih berlangsung.
“Amira, kalau Pak Nil nak kirimkan duit raya untuk ibu, anak-anak dan anak-anak buah awak boleh tak? Kalau awak menolak, awak menolak hajat Pak Nil.
“Pak Nil dah kirimkan RM3,000 untuk Amira. Saya nak hari raya ini awak gembira,” katanya melalui video yang dikongsi di aplikasi TikTok.
Amira yang terharu dengan bantuan tersebut tidak dapat menahan sebak, malah berkongsi bahawa dia sebelum ini berdoa agar dipermudahkan rezeki.
“Ya Allah Pak Nil! Saya nak cari RM30 pun susah sekarang. Allahuakbar.
“Malam tadi saya doa, saya cakap Allah pinjamkan sedikit kekayaan-Mu kepada aku. Gembirakanlah hati kami, sesungguhnya aku dan suami sudah habis usaha,” katanya.
Situasi penuh emosi itu turut mengundang air mata tiga penyampai Kool FM iaitu Pak Nil, Haiza dan Muaz.
Di media sosial, ramai netizen memuji sikap pemurah Pak Nil yang sentiasa berkongsi rezeki, selain mendoakan agar beliau terus dimurahkan rezeki dan diberi kebahagiaan di dunia serta akhirat.
“Rupanya kekayaan Pak Nil yang Allah pilih untuk dipinjamkan. Termakbul doa Amira. Rezeki Pak Nil juga sebab terpilih,” komen @HakakMisi.
“Sebenarnya akak tu nak meluah saja. Dia bukan meminta. Dia nak orang dengar saja. Tapi asbab kesabaran dia, Alhamdulillah, Allah bagi rezeki. Semoga urusan rezeki akak mudah dan lancar,” tulis @Sunshine pula.
“Sebab tu aku marah bila orang cakap ‘kau susah sebab kau kurang usaha’. Kadang orang tu dah usaha sehabis baik cuma Allah kata belum masanya. Terima kasih Pak Nil. Semoga Allah lapangkan segala kesulitan Pak Nil,” kata @Caramel Macchiato.
Setakat ini, video tersebut berjaya meraih 3.7 juta tontonan 284,900 tanda suka, 18,600 komen dan 54,600 perkongsian semula di TikTok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








