Tabung bantuan anak Amyza ditutup, kutipan cecah lebih RM164,000 – Pak Nil
KUALA LUMPUR – Tabung bantuan yang diwujudkan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi bagi membantu kos rawatan anak pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam yang menghidap kanser tulang berjaya mengumpul lebih RM164,000 sebelum ditutup secara rasmi tengah hari tadi.
Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil berkata, jumlah keseluruhan kutipan yang berjaya diraih sepanjang tempoh seminggu tabung itu dibuka mencecah RM164,775.71 dan akan dipindahkan terus ke akaun peribadi Amyza.

“Pak Nil akan tutup akaun bantuan Adrian dan Amyza tepat pukul 12 tengah hari ini. Pak Nil akan pindahkan ke akaun Amyza. Terima kasih semua.
“Sebab Sabtu dan Ahad bank tidak beroperasi, jadi baru sekarang Pak Nil dapat ke kaunter untuk uruskan pemindahan wang,” katanya menerusi hantaran di Threads hari ini.
Pengacara berusia 64 tahun itu turut meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga pelakon berkenaan.
BACA JUGA:
Pak Nil berjaya kumpul lebih RM137,000 bantu kos rawatan anak Amyza
“Terima kasih kepada semua yang percaya. Pak Nil ada kata tabung dibuka seminggu tapi tak sangka hati rakyat Malaysia luar dugaan. Terima kasih lagi sekali,” tulisnya.
Terdahulu, Pak Nil mengambil inisiatif melancarkan tabung bantuan berkenaan sejak Rabu lalu selepas dimaklumkan mengenai keadaan Adrian Adam yang sedang berjuang melawan kanser tulang.
Usaha itu mendapat perhatian ramai termasuk peminat industri hiburan tanah air yang rata-ratanya menzahirkan sokongan dan doa buat Amyza sekeluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




