AFA PRIME laksana strategi trafik Aidilfitri, TTA diaktifkan di KLK, LPT1
KUALA LUMPUR – AFA PRIME Berhad melaksanakan strategi pengurusan trafik komprehensif termasuk mengaktifkan Travel Time Advisory (TTA) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bagi menghadapi lonjakan trafik sempena Aidilfitri 2026.
Langkah proaktif itu bertujuan mengurangkan kesesakan di lokasi kritikal khususnya di plaza tol Gombak, Bentong dan Karak yang menjadi laluan utama ke Pantai Timur.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faizi Latifi Ahmad Faiz berkata, pihaknya menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan berdasarkan destinasi masing-masing menerusi strategi “Smart Travel” menggunakan TTA.
Bagi fasa balik kampung pada 19 dan 20 Mac 2026 dari Kuala Lumpur dan Selangor, pengguna ke Pahang disaran memasuki lebuh raya antara pukul 8 pagi hingga 11 pagi atau 12 tengah hari hingga 4 petang, manakala ke Terengganu dan Kelantan antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari atau 8 malam hingga 11 malam.
Untuk fasa pulang ke bandar pada 23, 28 dan 29 Mac 2026, pengguna dari Pahang disaran memasuki lebuh raya antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam, manakala dari Terengganu dan Kelantan antara pukul 10 pagi hingga 1 petang, 4 petang hingga 8 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.
Pengguna juga digalakkan memanfaatkan waktu perjalanan bebas antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi perjalanan lebih lancar.
“Matlamat utama kami adalah untuk memanusiakan pengalaman perjalanan pengguna. Dengan mematuhi TTA, pemandu bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik, malah menyumbang kepada persekitaran pemanduan yang lebih selamat dan kurang tekanan untuk semua keluarga pulang beraya,” katanya.
Selain itu, AFA PRIME memastikan semua kemudahan lebuh raya berada pada tahap optimum dengan penempatan unit rondaan serta pasukan tindak balas kecemasan di lokasi strategik bagi bantuan segera.
Pengguna kenderaan ringan turut dinasihatkan mengelak waktu puncak bas ekspres di Plaza Tol Gombak antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari serta 9.30 malam hingga 12 tengah malam bagi mengurangkan kesesakan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi LPT-Line di talian 1-700-818-700 atau mengikuti kemas kini masa nyata di @LPTTrafik di platform X.
AFA PRIME Berhad merupakan antara entiti di bawah AFA Infrastructure and Development Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai pemegang konsesi bagi KLK dan LPT1 serta mengurus dan menyelenggara lebuh raya berkenaan bagi meningkatkan kesalinghubungan antara Lembah Klang dan bandar utama di Pantai Timur.
Syarikat itu turut melaksanakan projek utama seperti peluasan KLK bernilai RM2.1 bilion dan inisiatif mitigasi banjir LPT1 bernilai RM200 juta dalam usaha menyediakan lebuh raya yang lebih selamat, cekap dan mampan kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








