Malaysia sasar kedudukan 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah menjelang 2033 – PM
KUALA LUMPUR – Malaysia menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia menjelang tahun 2033 sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang negara memperkukuh integriti dan tadbir urus negara yang berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu akan dicapai menerusi pelaksanaan Strategi Anti-Rasuah Nasional (NACS) yang dirangka secara menyeluruh bagi menangani rasuah dari akar umbi dan memperkukuh sistem pentadbiran awam.
“Malaysia komited untuk mencapai tahap integriti yang lebih tinggi dan sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kesungguhan kita untuk membina negara yang telus, adil dan berdaya tahan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada International Conference on Governance and Integrity 2025, di sini semalam.
Menurut Anwar, selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memacu pertumbuhan inklusif dan lestari menerusi tadbir urus baik serta ekonomi yang dinamik dan progresif.
Beliau menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah adalah perjuangan yang tidak boleh dikompromi, apatah lagi apabila ia melibatkan golongan elit dan berkuasa.
“Perjuangan menentang rasuah bukan mudah lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan elit berkuasa, namun ia adalah tanggungjawab bersama yang menuntut keberanian, kesatuan, dan pendirian tegas demi keadilan dan ketelusan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia buat pertama kali diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Presiden Perhimpunan International Anti-Corruption Academy (IACA), sekali gus membuka ruang untuk negara memimpin dengan teladan dalam memperkukuh tadbir urus dan usaha anti-rasuah di peringkat global.
Tambahnya, kepercayaan yang diberikan itu membuktikan pengiktirafan dunia terhadap kesungguhan Malaysia dalam menegakkan prinsip integriti dan akauntabiliti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








