BERITA SEMASA

44 maut, ratusan hilang dalam kebakaran pangsapuri di Hong Kong, polis siasat kecuaian serius

HONG KONG – Kebakaran yang melanda kompleks pangsapuri Wang Fuk Court sejak semalam setakat ini disahkan meragut 44 nyawa, manakala hampir 300 penduduk masih belum dikesan, menjadikan tragedi itu kebakaran paling buruk di Hong Kong.

Operasi memadam kebakaran masih diteruskan selepas lebih 22 jam dengan anggota bomba berdepan asap tebal serta bahang melampau yang menyukarkan usaha menyelamat mangsa di tingkat atas bangunan setinggi 32 tingkat itu.

Salah seorang daripada yang dilaporkan terbunuh adalah anggota bomba manakala 45 lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Menurut polis, kebakaran dipercayai berpunca daripada kecuaian serius sebuah syarikat pembinaan yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan sejak setahun lalu di kompleks berkenaan.

Superintenden Polis, Eileen Chung berkata, siasatan awal menunjukkan bangunan dilitupi jaring perlindungan dan plastik yang tidak memenuhi piawaian keselamatan, selain penemuan tingkap disumbat menggunakan bahan buih (foam) yang mempercepatkan merebaknya api.

“Terdapat kecuaian besar sehingga menyebabkan api tidak dapat dikawal dan mengakibatkan korban begitu ramai,” seperti dilaporkan Malay Mail.

Sehubungan itu, tiga individu, dua pengarah dan seorang jurutera perunding ditahan atas syak melakukan pembunuhan tanpa niat.

Menjelang pagi ini, pihak berkuasa berjaya mengawal kebakaran di empat daripada tujuh blok, manakala tiga lagi masih terbakar.

Video dari lokasi menunjukkan nyalaan api masih kelihatan pada menara yang ditutupi skafolding buluh dan jaring hijau pembinaan.

Dalam pada itu, seramai 279 penduduk masih belum dapat dihubungi, manakala 900 orang berlindung di lapan pusat pemindahan.

Beberapa jalan raya menuju ke kawasan itu ditutup, 39 laluan bas dialihkan, manakala sekolah berhampiran diarahkan tutup.

Wang Fuk Court telah diduduki sejak 1983 dan menempatkan lebih 4,600 orang dalam lapan blok yang mencerminkan kepadatan penduduk Hong Kong serta isu perumahan mampu milik yang berlarutan.

Tragedi itu dijangka memberi tekanan politik baharu kepada kerajaan Hong Kong menjelang pilihan raya legislatif awal Disember.

Ia juga mencetuskan perbandingan dengan kebakaran Grenfell Tower di London pada 2017 yang meragut 72 nyawa akibat penggunaan bahan mudah terbakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button