SUKAN

Anwar ucap syabas skuad sepak takraw negara julang Piala Dunia 2026

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan syabas kepada skuad sepak takraw negara selepas berjaya merangkul gelaran juara acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, malam tadi.

Beliau menyifatkan kejayaan menewaskan Thailand dalam aksi final 2-1 itu sebagai bukti ketahanan, disiplin dan semangat juang tinggi yang dimiliki anak muda Malaysia.

“Kemenangan ini adalah hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti bahawa anak watan memiliki keupayaan, ketahanan dan semangat luar biasa apabila membawa cabaran negara,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurutnya, kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mencerminkan kekuatan perpaduan dan usaha berterusan dalam membangunkan sukan tanah air.

Dalam aksi final penuh dramatik itu, Malaysia terlebih dahulu mencatat kemenangan pada regu pertama sebelum Thailand bangkit menyamakan kedudukan pada regu kedua.

Perlawanan kemudian ditentukan pada regu penentuan yang menyaksikan aksi tegang sebelum Malaysia diisytiharkan pemenang selepas pihak lawan enggan meneruskan permainan.

Kejayaan tersebut sekali gus mengesahkan status Malaysia sebagai juara baharu dunia acara regu berpasukan, menewaskan musuh tradisi, Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button