BERITA SEMASAPMX

Lawatan rasmi Presiden Afrika Selatan perkukuh jaringan Selatan-Selatan

PUTRAJAYA – Hubungan Malaysia dan Afrika Selatan terus diperkukuh menerusi lawatan rasmi Presiden Cyril Ramaphosa hari ini sekali gus menandakan kesinambungan hubungan erat dua negara yang berasaskan keadilan, solidariti dan pembangunan bersama.

Lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak 2018 itu menjadi simbol keakraban hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak awal 1990-an dan bakal diperkukuh lagi dengan lawatan balas Perdana Menteri ke Afrika Selatan sempena Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg, bulan depan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, dalam pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin dijangka akan menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.

Taklimat PMO
Tunku Nashrul bercakap pada taklimat media Pejabat Perdana Menteri hari ini. – Foto Facebook

“Antaranya perdagangan, pelaburan, industri halal, pertahanan serta sains dan inovasi termasuk bidang bioteknologi, digitalisasi dan pembangunan kemahiran.

“Malaysia turut mengiktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua Afrika dan berhasrat memperluas pasaran eksport minyak sawit serta memperkukuh penyertaan sektor swasta dalam bidang tenaga, pertanian dan pembuatan bernilai tinggi,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua pemimpin juga menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia turut menyatakan penghargaan setingginya terhadap kepimpinan Afrika Selatan dalam membawa isu kemanusiaan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Lawatan ini menjadi simbol komitmen untuk memperjuangkan keamanan sejagat berteraskan prinsip keadilan, kemanusiaan dan perpaduan global,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button